Wednesday, March 16, 2005

Kegunaan Tumbuhan Dalam Landskap

KEGUNAAN TUMBUHAN DALAM LANDSKAP

Tumbuhan merupakan elemen yang penting dalam rekabentuk landskap. Tumbuhan mempunyai kegunaan tertentu dalam landskap dari segi fungsi fizikal dan kecantikan.

Fungsi Fizikal Tumbuhan

Ada enam fungsi fizikal tumbuhan iaitu mengawal hakisan, meredakan iklim, bertindak sebagai tirai, memberi teduhan daripada panas matahari, mengarah pergerakan dan akhir sekali melindungi hidupan liar.

a. Mengawal hakisan air

Tumbuh-tumbuhan membantu mengawal hakisan air dengan dua cara. Pertama, sudur pokok meredakan tujahan terus air hujan yang jatuh ke tanah sementara akar-akar pokok pula bertindak memegang tanah daripada dilarikan air.

b. Meredakan iklim

Suhu tinggi yang terdapat di bandar-bandar boleh dikurangkan sebanyak beberapa darjah apabila banyak tumbuhan di dalam bandar tersebut. Proses transpirasi yang berlaku pada tumbuh-tumbuhan di sana boleh menyejukkan kawasan persekitaran.

c. Tirai yang melindungi pantulan cahaya, pemandangan yang kurang menyenangkan dan pukulan angin

Setengah-setengah jenis pokok dan pokok renek sesuai untuk digunakan sebagai tabir untuk melindungi kita daripada pantulan cahaya yang menyilaukan mata seperti di sepanjang median lebuh raya. Pokok-pokok boleh juga digunakan untuk melindungi bilik tidur daripada cahaya lampu jalan pada waktu malam.

Pemandangan yang kurang elok seperti tempat membuang sampah dan tempat letak kereta boleh dilindungi dengan tumbuh-tumbuhan. Penahan angin pula penting untuk melindungi suatu kawasan daripada pukulan angin kencang sementara angin sepoi-sepoi boleh diarahkan melalui sesuatu kawasan untuk keselesaan pengguna dengan menggunakan tumbuhan-tumbuhan.

d. Memberi teduhan daripada panas matahari

Kita semua tahu betapa panasnya cahaya matahari terutamanya di bandar-bandar. Pancaran matahari bukan sahaja datang terus daripada sumbernya tetapi termasuk juga cahaya yang dipantul dari bahan-bahan konkrit dan kaca bangunan. Sudur pokok boleh memberi teduhan yang diperlukan dan menjimatkan penggunaan alat penyaman udara.

e. Mengarah pergerakan

Pokok-pokok pagaran dan tanaman tutup bumi boleh digunakan untuk mengarah pergerakan lalulintas terutamanya lalulintas pejalan kaki ke tempat tertentu. Tumbuh-tumbuhan ini juga boleh digunakan untuk menghalang pergerakan.

f. Melindungi hidupan liar

Tumbuh-tumbuhan menjadi perumah kepada hidupan liar seperti burung, tupai dan sebagainya. Kehadiran haiwan-haiwan ini menambahkan lagi sifat kesemulajadian sesuatu kawasan.

Fungsi Estetika Tumbuhan

Terdapat lima fungsi estetika tumbuhan iaitu membentuk ruang, merangka pemandangan, melembutkan pemandangan senibina bangunan, mengikat bangunan dengan permukaan bumi dan penyambung berbagai-bagai unsur di dalam satu kawasan.

a. Membentuk ruang

Tumbuh-tumbuhan boleh digunakan untuk membentuk sempadan-sempadan kepada ruang-ruang yang tertentu. Di samping membentuk ruang atau bilik-bilik luar ini, tumbuh-tumbuhan juga berguna untuk memberi kualiti atau menghias ruang tadi.

b. Merangka pemandangan

Merangka pemandangan merupakan suatu teknik yang sering digunakan untuk memperbaiki sesuatu pemandangan. Cara yang paling biasa untuk merangka pemandangan semulajadi ialah dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan.

c. Melembutkan pemandangan seni bina bangunan

Bentuk tumbuh-tumbuhan yang secara semulajadinya tidak keras boleh digunakan untuk ‘melembutkan’ kekerasan pemandangan sesebuah bangunan.

d. Mengikat bangunan dan struktur dengan permukaan bumi

Menanam tumbuh-tumbuhan di pangkal bangunan atau struktur boleh menjadikan bangunan atau struktur itu kelihatan terikat dengan permukaan bumi dan lebih stabil.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

free counters