Thursday, April 14, 2005

Senibina-Berkait Rapat Dengan Kehidupan Harian

Bidang seni bina berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Malah bidang ini memberi sumbangan terus ke arah pembentukan persekitaran manusia. Reka bentuk dan pembinaan bangunan yang sesuai dengan kehendak dan kehidupan manusia merupakan aspek yang penting dalam seni bina. Sebi bina adalah seni dan sains sebuah bangunan.
Individu yang dilatih di bidang ini dipanggil arkitek. Seorang arkitek itu dilatih secara khusus untuk menimba pengetahuan dalam unsur-unsur seni dan mengintegrasikannya dengan unsur-unsur sains. Melalui integrasi ini seorang arkitek itu bukan sahaja dapat memenuhi keperluan manusia untuk mendapatkan tempat perlindungan, bahkan dapat juga mencipta tamadun kemanusiaan yang akan kekal untuk dinikmati, dinilai dan menjadi warisan generasi akan datang.
Tugas seorang arkitek ialah mereka bentuk sesuatu bangunan yang sesuai dengan kehendak-kehendak pengguna, kos, alam sekitar dan memenuhi syarat undang-undang dan akta perancangan setempat. Seorang arkitek bertanggung-jawab untuk menyelaras dan mengawas pelaksanaan sesuatu projek bangunan dari mula hingga ke akhir penyiapannya.
Tugas seorang arkitek bermula apabila beliau diminta menasihati atau menjadi tempat merujuk mengenai proses pembinaan sebuah bangunan yang boleh dibahagikan kepada tiga peringkat:
Peringkat Satu:
Mereka Bentuk Bangunan
Menganalisis keperluan pelanggan dan lokasi yang dicadangkan sebelum menyediakan lukisan-lukisan lakaran berdasarkan konsep reka bentuk bangunan yang sesuai.
Peringkat Kedua:
Merancang/ pengeluaran
Menyediakan pelan-pelan terperinci untuk kelulusan pihak-pihak berkuasa tertentu dan seterusnya membuat lukisan-lukisan kerja untuk memudahkan pembinaan. pemilihan kontraktor untuk melaksanakan pembinaan boleh dibuat melalui tender atau secara rundingan.
Peringkat Ketiga:
Mengurus Projek
Mengawasi dan menyelia kerja semasa pembinaan. Arkitek akan bertindak sebagai ketua kumpulan dan menyelaras tugas pakar-pakar yang terlibat dan kontraktor-kontraktor. Di samping itu, seorang arkitek merupakan orang tengah dalam perkara-perkara yang melibatkan empunya bangunan dengan kontraktor seperti spesifikasi, mutu kerja, sijil pembayaran dan perkara lain yang berkaitan.
Pada keseluruhannya, seorang arkitek harus dapat memberi khidmat yang bermutu dalam reka bentuk bangunan serta menentukan bahawa kerja pembinaannya bermutu dan dapat disiapkan mengikut jangka masa, kualiti dan kos yang telah dirancang.
Buat masa ini peluang kerjaya di bidang ini amat cerah sama ada di sektor kerajaan atau swasta terutama di sektor pembinaan. Selain itu terdapat banyak peluang dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi seperti universiti dan politeknik.
Rancangan Malaysia kelapan (2001-2005) melaporkan bahawa arkitek yang berdaftar dengan lembaga Arkitek Malaysia pada tahun 1995 berjumlah 1334 orang. pada 1999 bilangannya meningkat kepada 1494 orang. Bilngan mereka dijangka meningkat pada masa akan datang berikutan keperluan negara kepada bidang ini semakin bertambah.
Seorang siswazah arkitek biasanya akan bekerja dengan firma-firma arkitek/jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun. Kebelakangan ini akibat kepesatan pembangunan khususnya di bandar-bandar besar dan kemunculan bandar-bandar baru ramai arkitek yang berkhidmat dengan pihak pemaju, kontraktor, pembekal bahan binaan serta syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri bangunan. Manakala bagi mereka yang berpengalaman boleh membuka firma sendiri.
Di sektor kerajaan, kerjaya ini mampu menawarkan gaji sekitar RM2,000 serta beberapa imbuhan lain, manakala sektor swasta mampu menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada seorang arkitek.
Sementara itu, pemegang Diploma Seni Bina boleh memegang jawatan pembantu teknik di jabatan kerajaan/badan-badan berkanun dan sebagai pembantu arkitek di firma-firma swasta.
Semasa pengajian pelajar akan diajar tentang seni bina, kejuruteraan bangunan, perancangan, ekonomi bangunan dan pengurusan serta teknologi seni reka. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan latihan di bidang teknikal, pengurusan, pentadbiran pembangunan yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar menerapkan pengetahuan yang lebih luas. Mereka juga akan menjalani latihan praktikal di pejabat atau firma arkitek bagi menimba ilmu.
CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN
(i) Mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion
(ii) Mempunyai pengetahuan dalam bidang matematik dan lukisan
(iii) Memiliki daya imaginasi yang tinggi
(iv) Memiliki kreativiti
(v) Mampu menyiapkan tugas mengikut masa yang ditetapkan
(vi) Mahir menggunakan komputer
(vii) Sanggup bekerja tanpa mengira masa dan tempat.
SYARAT UNTUK MENCEBURI BIDANG INI
Sekiranya berminat untuk memilih bidang ini sebagai kerjaya, seseorang itu perlu lulus Sarjana Muda Seni Bina dari institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara yang diiktiraf. Mereka juga perlu lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Arkitek Malaysia dan Pertubuhan Arkitek Malaysia bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai arkitek bertauliah.
TEMPAT UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIAN
Kursus seni bina boleh diikuti sama ada di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara. IPT awam tempatan yang menawarkan kursus ini ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaya (M), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM), iaitu universiti swasta turut menawarkan kursus ini diperingkat sarjana muda. Selain itu, kursus ini juga boleh diikuti di beberapa universiti luar negara seperti di Australia, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
SYARAT-SYARAT YANG DIPERLUKAN UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIAN
Terdapat beberapa cara untuk melanjutkan pengajian di bidang ini:
Cara pertama: Untuk melanjutkan pengajian di bawah program tahun asas seni bina di UTM, pelajar perlu mendapat kelulusan yang baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Mereka perlu mendapat lima kepujian dalam lima mata pelajaran termasuk bahasa Melayu dan Matematik. Pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun dan dianugerahkan diploma. Pelajar yang layak akan dibenarkan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah untuk tempoh tiga tahun.
Cara kedua: Kementerian Pelajaran menawarkan program matrikulasi sains selama satu tahun sebelum pelajar ditawarkan untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Seni Bina di USM, UM, UIAM, UPM dan UKM. Program ini memerlukan calon lulus peperiksaan SPM/SPMV serta mendapat kepujian Bahasa Melayu, Matematik, serta tiga mata pelajaran lain.
Cara ketiga: USM juga mengambil calon-calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) selama tiga tahun sebelum meneruskan pengajian selama setahun bagi program Sarjana Muda Seni Bina. Cara ini memerlukan calon lulus SPM dan kepujian Bahasa Melayu. Calon juga perlu lulus STPM dengan mendapat prinsipal yang baik khususnya dalam mata pelajaran Matematik, Fizik, Ekonomi dan Geografi.
Cara Keempat: USM dan UTM juga membuka peluang kepada lulusan sijil/diploma dari UPM, UTM, UiTM dan politeknik di bidang seni bina, perancangan, ukur bahan penilaian atau bangunan untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.
Cara kelima: Untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Seni Bina di UM dan UIAM, calon perlu lulus SPM dan mendapat sekurang-kurangnya lima kepujian dan lulus bahasa Melayu.
Calon juga perlu lulus STPM dengan mendapat prinsipal yang baik khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Fizik.
Cara keenam: Calon perlu lulus peperiksaan SPM/SPMV serta mendapat kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, Lukisan atau Lukisan Geometri dan bangunan untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke UiTM di peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat sarjana muda.
Cara ketujuh: Untuk mengikuti pengajian di peringkat ijazah di UiTM, calon perlu lulus sekurang-kurangnya dua prinsipal termasuk Pengajian Am dan dua subsidiari termasuk Lukisan di peringkat SPM. Selain itu, harus lulus Bahasa Melayu dan Inggeris dan kepujian Matematik di peringkat SPM/SPMV. Syarat tambahan: Calon hendaklah lulus ujian melukis yang dikendalikan oleh pihak fakulti.
Cara kelapan: Bagi mereka yang ingin menlanjutkan pengajian seni bina ini diluar negara, calon perlu lulus peperiksaan SPM/SPMV dengan mendapat kepujian mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik dan Lukisan Kejuruteraan / Pendidikan Seni. Program diluar negara mengambil masa selama lima atau enam tahun bergantung kepada institusi yang menawarkannya. Para pelajar boleh memohon untuk mengikuti pengajian ini di bawah program ijazah luar negara tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
free counters